Konsultan Villa Hati
 


 

Latar Belakang Kerjaya Motivator

Master ( Ust ) Mohd Sopian bin Salleh.


                          

 

1994 – Saya mula bertugas sebagai seorang guru di SMK Kinabutan, Tawau, Sabah. Di sinilah saya mula berjinak-jinak dengan program motivasi apabila sentiasa dilantik oleh pihak sekolah sebagai Kem Komanden dalam program-program motivasi di peringkat sekolah. Selain daripada itu saya juga banyak kali dijemput untuk menyampaikan motivasi kepada para pelajar di sekolah-sekolah lain dekat dan jauh dengan arahan oleh pihak PPDaerah Tawau, PPBahagian Tawau dan juga JPN Sabah.

 

1995 – Mula mendapat permintaan daripada Jabatan-jabatan kerajaan dan swasta yang lain seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Penjara, membantu Jabatan Agama Islam Sabah dalam program-program dakwahnya sehingga ke pulau-pulau dan pendalaman Sabah.

 

1996 – Mula menyampaikan motivasi laras keusahawanan kepada agent-agent insurans dan Multi Level Marketing. Pada tahun ini saya mula bergiat dalam MLM dengan serius dan mula bertindak sebagai speaker kepada stokist Syarikat Hai-O Marketing SDN. BHD.

 

1999 – Bertukar mengajar ke negeri Perak. Jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin seolah-olah menjadi jawatan kesukaan saya. Pengalaman ini merupakan kekuatan kepada saya dalam menyampaikan motivasi kepada para pelajar kerana riak hati, karenah perangai mereka berada dalam tafsiran dan telahan saya. Seperti biasa saya dijemput oleh banyak sekolah untuk menyampaikan motivasi di samping menjadi tenaga utama membantu kaunselor sekolah menjayakan program-program motivasi di peringkat sekolah ( pada masa ini SMK Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak, Perak )

 

2004 – Saya terlibat secara langsung sebagai Jurulatih Utama Dakwah Kementerian Pelajaran Malaysia dan banyak kali tampil ke hadapan para guru seluruh Negara untuk menyampaikan slot-slot tertentu kepada guru-guru seluruh Negara. Mereka mendapati penyampaian saya adalah lain dari yang lain berbanding dengan para speaker yang lain. Tajuk khas yang diamanahkan oleh KPM kepada saya ketika itu ialah tentang Ketuanan Melayu. Saya beraksi dan menjiwai watak yang diberikan kepada saya. Hasil dari sini ramai guru-guru yang mula berminat terhadap saya untuk membawa saya ke sekolah mereka bagi menyampaikan motivasi kepada para pelajar mereka. Dari sini, saya mula membina sebuah modul program 3 hari 2 malam yang dinamakan Program Motivasi Kesedaran Pelajar.

 

2005 – Menyedari bahawa kejayaan seseorang banyak dipengaruhi oleh “bangkitan dari dalam” maka saya mantapkan lagi modul sedia ada dan memberikan nama yang khusus sebagai Program Motivasi Seni Sentuhan Hati ( MSSH ). Nama inilah yang membawa kepada wujudnya website www.mssh2u.com.

 

2007 – Oleh kerana ada beberapa sekolah yang membayar secara LO dan memerlukan akuan syarikat sebagai saluran pembayaran, maka saya menubuhkan syarikat saya sendiri iaitu Konsultan Villa Hati.

 

2009 – Bukan semua sekolah mampu mengadakan program bermalam. Banyak juga sekolah yang mengharapkan saya hadir bagi program yang tidak bermalam. Maka saya bina sebuah lagi modul yang saya pastikan mencapai tahap kepuasan maksimun kepada client sebagaimana program MSSH. Dari sini saya mula memperkenalkan modul baru sebagai alternatif  kepada sekolah-sekolah iaitu Program Motivasi Aktifkan HotButton Anda ! ( AHBA ).

 

 

Hari ini kedua-dua modul ini iaitu MSSH dan AHBA bergerak seiring merantau ke sekolah-sekolah dekat dan jauh seluruh negara dari Perlis di Utara hingga ke Johor di selatan serta ke Kelantan dan Terengganu di Timur. Bahkan saya juga menerima jemputan ke Sabah dan Sarawak.

 

Tempahan yang terlalu banyak akhirnya memaksa saya meletak jawatan daripada kerjaya guru setelah 17 tahun berkhidmat. Pada hakikatnya saya masih seorang guru. Saya seorang guru yang kekal setia mendidik anak bangsa saya dan anak Malaysia keseluruhannya dengan gaya dan cara saya sendiri. Saya masih lagi guru tetapi tidak berpagar dan murid saya adalah 1Malaysia seluruh Negara ! Saya sekarang adalah PENSYARAH BEBAS !........

 

Buah cempedak di luar pagar,

Tiada galah macamana nak jolok,

Kalau betul nakkan saya ajar,

Jemputlah saya nanti saya tunjuk !




 
 


 



                             

 
 
 


 
 
 

      

Penafian :  Konsultan Villa Hati  tidak bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang
disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.